Gunung, 3 ekor burung dan beberapa biji batu

May 1, 2010 § 1 Comment

Aku telah pergi ke majlis Bicara Seni Pak Samad sebagai pengunjung . Sangat menarik dan boleh mencetuskan inspirasi , acara Pak Samad  menceritakan sejarah bagaimana beliau belajar melukis dari gurunya. Ya, semua yang diajar di zaman dulu waktu dia di Singapura sekitar gunung, 3 ekor burung dan beberapa biji batu. Dan dia tidak boleh melawan gurunya untuk melukis objek yang lain dan terus melukis gunung, 3 ekor burung dan beberapa biji batu. Akhirnya, Pak Samad landing ke cerita lukisannya sekarang. Dia juga berkongsi rujukan yang dia kaji dari Frida Kahlo, Jason Pollock dan yang lain, aku tidak berapa ingat.

Sesi seterusnya, para pengunjung selalunya akan memberi pendapat atau menyoal sedikit tentang kariernya sebagai penulis tetapi acara ini berubah. Seorang lelaki mengambil mic dan membaca sajak, manakala seorang budak lelaki mungkin dalam tingkatan 5 menyanyi sayir. Memang sedap suara budak itu. Ini telah mencetuskan idea pada orang tua itu. Tiba-tiba dia berkata, “Sekarang saya ingin menjemput seorang sahabat yang menyanyikan lagu dari puisi saya. Saya harap dia tidak keberatan untuk menyanyi tanpa iringan muzik.” Aduh, berderau jantung. Aku bangun, senyum dan memperkenalkan diri. Lepas itu aku nyanyi…serangkap sahaja dari kegemaran Pak Samad, Suara Tulus (Dia pernah menyatakan pada aku lagu itu berhantu) Suasana yang tidak disangka itu menyebabkan aku terlupa lirik! Senyum sahaja. Tapi tidak mengapa. Pak Samad jadi ejen promosi laguku. Alhamdulillah.

Aku teringat beberapa tahun yang lepas sewaktu mengunjungi Galeri Petronas, KLCC. Ini adalah kali pertama lukisan Pak Samad dipamerkan kepada umum. Aku berdiri didepan lukisan yang banyak motif garisan seperti lalang dan debunga di tiup angin. Aku difahamkan bahawa lalang-lalang ini adalah manusia.

Akhirnya aku sampai ke lukisan dipanggil “Anak Gigi Rambut”. Aku senyum teringatkan anak-anakku dan melangkah. Aku tidak dapat menahan airmata. Terus aku menaip sms kepada Pak Samad. “Salam Bapak, Taheera di Daerah Samad. Taheera  boleh baca kegelisahan Bapak tetapi kenapa Taheera tidak dapat meluahkan perasaan seperti Bapak.” Petang Jumaat itu kami berjumpa untuk minum petang.  Buku Rindu Ibu masih dalam bayangan.

Advertisements

Where Am I?

You are currently viewing the archives for May, 2010 at katasyahdu.